Khamis, 22 Julai 2010

Ustaz kena cekup khalwat?

salam perubahan

Akhbar Berita Harian(BH) bertarikh 21/7/2010 di dalam ruang Nasional melaporkan tajuk 'Ustaz kena cekup khalwat'"

BH melaporkan seorang ustaz berusia 39 tahun ditangkap bersama seorang wanita berusia 36 tahun yang juga merupakan isteri orang. Ustaz tersebut dipercayai telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak. Ketika mereka ditangkap di hotel murah Taman Teja,Changlung oleh Pejabat Agama Kubang Pasu, pasangan terbabit dalam keadaan berpakaian lengkap dan mengaku mereka tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah.

Berita ini merupakan satu lagi bukti kemerosotan akhlak dan sahsiah masyarakat pada hari ini. Kebanyakan orang akan banyak bercakap mengenai gaya hidup para artis yang semakin lari daripada adat timur dan ajaran Islam sendiri. Golongan remaja juga sering dipersalahkan kerana ramai dalam kalangan mereka terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram,dadah,kecurian dan rompakan serta pelbagai masalah lain yang boleh dirangkumkan di bawah satu masalah pokok yang boleh kita namakan sebagai 'KERUNTUHAN AKHLAK DAN MORAL' masyarakat.

Kehidupan kita pada hari ini akan sentiasa dilambakkan dengan pelbagai masalah yang saban hari semakin meningkat. Kita diuar-uarkan dengan pelbagai cadangan penyelesaian oleh para ustaz, profesor, ahli akademik, dan para pemimpin negara sekali.Pelbagai cadangan telah cuba dilaksanakan. Namun demikian, hasil yang diperoleh tidak setimpal dengan pelaburan yang dilakukan. Sebagai contoh, kerajaan melaburkan ribuan ringgit untuk pusat serenti bagi menangani masalah dadah dalam masyarakat malaysia. Akan tetapi masalah dadah terus menjadi masalah yang tidak pasti bila akan selesai. Perkara yang sama berlaku dalam kes rompakan dan kecurian yang terus menunjukkan 'perkembangan'

Bagi mana-mana individu yang mengaku beragama islam dan menghayati keindahan islam itu sendiri, pasti mereka berusaha untuk menyelesaikan segala masalah yang tersebut di atas melalui penyelesaian yang terdapat dalam ajaran Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Ini bererti menjadikan Al-Quran dan sunnah Nabi sebagai rujukan dalam perundangan dan juga pentadbiran negara serta masyarakat.

Akan tetapi, hakikat yang berlaku pada hari ini, para pemimpin yang dipilih oleh majoriti rakyat seakan-akan tidak ingin memberi ruang sedikit pun perundangan Islam itu cuba dilaksanakan. Sedangkan di Malaysia, kita mempunyai ramai pakar perundangan Islam yang boleh menjadi tempat rujukan. Hal ini amat mendukacitakan kita. Perkara yang sama berlaku hampir di seluruh dunia. Jika kita melihat apa yang berlaku di negara-negara arab seperti Mesir, Kuwait, Yaman, Qatar dan lain-lain lagi,majoriti ketua negara mereka adalah individu yang beragama islam sama seperti pemimpin di Malaysia dan negara-negara ini juga menolak untuk melaksanakan perundangan Islam dalam negara mereka.

Lord Crommer yang merupakan bekas gabenor british di mesir pernah berkata yang lebih kurang bermaksud:

"kita boleh merdekakan negara islam dan kita tidak akan bertahan lama kerana kita akan dihalau keluar.tapi kita akan merdekakan mereka.kita jadikan pemimpin mereka yang terdiri daripada anak murid kita,menerima ideologi kita, menerima perundangan
kita."

Maka tidak hairanlah, kehidupan masyarakat hari ini menjadi semakin parah kerana kita dalam tidak sedar telah tertakluk kepada budaya penjajah, pemikiran penjajah walaupan secara hitam putihnya kita telah merdeka secara rasmi.

Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa penyelesaian terbaik bagi segala masalah yang berlaku adalah kembali kepada ajaran Islam itu sendiri. Kemungkinan terdapat segelintir pemimpin atau tokoh yang berpengaruh sengajar menutup sebelah mata untuk cuba menjadikan Islam sebagai satu penyelesaian semata-mata ingin menjaga kepentingan peribadi.

Sememangnya berita yang dilaporkan oleh BH itu merupakan satu bencana bagi kita yang ingin membuka akal fikiran dan minda yang cuba digelapkan oleh musuh-musuh Islam.

Oleh yang demikian, menjadi satu fardhu untuk memperjuangkan agar Islam ini ditempatkan pada tempat yang sepatutnya dan menjadi jalan penyelsaian bagi segala urusan di atas muka bumi ini bukan setakat di Malaysia bahkan merangkumi semua tujuh benua.

wallahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan