Ahad, 7 Mac 2010

DI MANA SILAPNYA

salam ukhuwwah..

Hari ini, 6 Mac 2010 satu lagi berita yang menyayat hati manusia yang menpunyai hati nurani telah berlaku.

"Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.

Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian."

berita di atas merupakan kejadian yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia yang berlaku di Kuching, Sarawak.

Baru-baru ini kita baru dikejutkan dengan peristiwa adik K. Hareswarral yang baru berusia 18 bulan didera oleh suami penjaganya yang mengakibatkan 6 tulang rusuknya patah, hatinya hancur serta cedera parah di kepala akibat penderaan itu. Akhirnya adik K. Hareswarral juga meninggal dunia.

Sebelum itu, satu lagi kes dera berlaku melibatkan kematian adik Syafiah Humairah Sahari, 3, dipercayai didera oleh teman lelaki ibu kandungnya sendiri.

Fenomena tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini menunjukkan Malaysia mengalami satu masalah keruntuhan akhlak dan moral yang sangat kritikal. Seandainya tidak ada langkah pencegahan segera diambil maka sudah tentu jumlah mangsa terutamanya kanak-kanak yang tidak bersalah akan bertambah daripada masa ke semasa.

Kejadian yang berlaku ini juga menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang menghadapi masalah emosi yang tidak stabil. Emosi yang tidak stabil ini boleh kita ertikan sebagai kegagalan individu itu untuk membuat pertimbangan dengan waras dan saksama ketika menghadapi konflik dan tekanan. Akhirnya, segala masalah dan tekanan yang dihadapi dilampiaskan pada orang yang tidak bersalah.

Kemungkinan lain yang menyumbang kepada kejadian tragis begini mungkin disebabkan oleh persekitaran di negara ini yang barangkali masyarakatnya sudah hilang nilai moral dan akhlak masing-masing. Kempen memperkasakan budi bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia seolah-olah sekadar slogan RETORIK.

Persoalan yang boleh dilontarkan ialah bagaimana perkara yang boleh kita katakan sebagai tidak bertamadun ini boleh berlaku dalam negara kita yang mendakwa didiami oleh rakyat yang penuh toleransi. Tetapi hakikat yang berlaku menunjukkan realiti yang ada tidak sama dengan apa yang cuba dilaungkan. Tambah menyedihkan kejadian ini berlaku dalam negara yang mendakwa sebagai sebuah negara Islam dan menjadi contoh kepada negara-negara lain. Apakah peningkatan kes penderaan ini wajar menjadi contoh pada negara-negara lain atau sekadar sebagai makluman bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sebenarnya masih jauh daripada kehidupan yang bertamadun. Sepatutunya kehidupan bertamdun itu merangkumi sistem yang dapat membela nasib orang yang dianiayai, masyarakat yang penuh beretika dan seumpamanya.

Satu perkara yang mungkin boleh kita perhatikan di sini adalah untuk mendaulatkan kembali undang-undan Islam yang sememangnya satu penyelesaian terbaik untuk menjadi penwar kepada masalah yang melanda masyarakat di Malaysia pada masa ini. Sebelum ini kita terlalu mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi menggunakan akal kepala kita yang terbatas. Sedangkan kita sepatutnya mengembalikan penyelesaian kepada segala masalah kepada Tuhan Yang Menciptakan kita. Ini adalah satu resolusi yang masih belum dilaksanakan sedangkan sebelum ini pelbagai macam undang-undang dan akta yang dirancang oleh manusia kita gunakan. Kenapa tidak kali ini pemimpin-pemimpin kita cuba untuk kembali pada undang-undang Islam yang sebenar sebagai alternatif kepada segala masalah dalam masyarakat.

"ISLAM ITU TINGGI DAN TIDAK ADA YANG LEBUH TINGGI DARIPADA AGAMA ISLAM"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan