ANALISIS BERITA
Oleh Wan Hamidi Hamid
6 MAC - Hampir dua tahun yang lalu, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching telah meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menghidupkan semua pilihan raya tempatan bagi Kuala Lumpur.
Dalam soalannya sewaktu sesi Dewan Rakyat pada Mei 2008, Ahli Parlimen DAP itu menambah, “Sekiranya, ya, bila dan jika tidak, mengapa?” Jawapan yang diterimanya dari pihak Menteri adalah: “Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan”. Tiada sebarang sebab atau alasan diberikan.
Ini dilihat sebagai sikap kerajaan pusat Barisan Nasional terhadap sebarang usaha untuk membincangkan soal pilihan raya di peringkat tempatan. Sejak pilihan raya tempatan digantung pada 1965 sewaktu Konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia terhadap Malaysia dan dihapuskan terus pada 1976 di bawah pemerintahan Barisan Nasional, pimpinan Pusat tidak mahu melayan desakan mengadakan pilihan raya di peringkat akar umbi.
Alasan yang selalu didengar ialah pilihan raya tempatan akan memakan belanja besar dan sistem perlantikan sudah cukup baik untuk memenuhi keperluan rakyat.
Bagi pihak pembangkang, semua alasan itu dianggap lemah kerana mereka berpendapat sistem yang ada sekarang telah membolehkan kerajaan Barisan Nasional mencengkam kuasa di peringkat negeri melalui perlantikan ahli majlis tempatan.
Selepas pilihan raya umum 2008, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang tetap mahu melaksanakan pilihan raya tempatan walau pun mereka mempunyai kelebihan atau “advantage” untuk melantik penyokong-penyokong mereka dalam majlis tempatan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan bahawa ini bukan soal mengambil kesempatan atau meniru corak pentadbiran Barisan Nasional.
“Yang penting ialah memenuhi mandat rakyat. Pilihan raya tempatan adalah apa yang kami perjuangkan selama ini dan ia selaras dengan keperluan demokrasi dan hak rakyat. Ini adalah soal prinsip,” katanya.
Namun walau pun menawan beberapa negeri, sukar untuk Pakatan Rakyat melaksanakan pilihan raya tempatan kerana disekat oleh undang-undang terutamanya Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Ogos 2009 telah membahas dan meluluskan usul menggesa kerajaan persekutuan untuk meminda seksyen 10 dan seksyen 15 akta berkenaan supaya pilihan raya tempatan dapat dilaksanakan. Namun ketetapan itu tidak dipedulikan oleh kerajaan pusat.
Sejak pemansuhan pilihan raya di peringkat akar umbi itu, semua ahli majlis dan pegawai adalah lantikan terus dari parti yang memerintah. Apabila timbul masalah sama ada dalam soal kutipan sampah, longkang tersekat, kilang haram dan kesesakan lalu lintas serta isu-isu pencemaran alam dan cukai pintu, penduduk tempatan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap ahli majlis dan pegawai kerana tidak dipilih oleh penduduk berkenaan.
Setidak-tidaknya, menurut kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat yang menyokong usaha menghidupkan kembali pilihan raya tempatan, sistem pemilihan oleh rakyat akan membolehkan mereka mengundi dan menolak mana-mana calon yang menjadi ahli majlis yang telah mengecewakan mereka.
Kuasa majlis tempatan sebenarnya luas kerana ia menentukan pengeluaran lesen dan permit, cukai, pembinaan bangunan, rumah dan kedai serta gerai, pengurusan lalu lintas dan pengangkutan awam serta kemudahan prasarana awam. Ia juga berkuasa dalam soal melulus atau menolak tender, atau tidak perlu mengadakan sistem tender, di peringkat kontraktor kecil.
Masalah yang sering berlaku selama ini, termasuk yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, adalah penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan tanpa dapat dipantau secara terperinci.
Sama ada sesebuah negeri diperintah oleh Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, amalan biasa ialah melantik ahli majlis berdasarkan keahlian parti atau setidak-tidaknya kroni kepada parti atau pemimpin negeri.
Oleh kerana penduduk tempatan kecewa dengan sistem ini, mereka meluahkan marah terhadap kerajaan negeri serta Adun atau Ahli Parlimen kawasan mereka. Sedangkan Adun dan Ahli Parlimen sepatutnya menumpukan kepada soal dasar, masing-masing di peringkat negeri dan Pusat; dan bukan menumpukan masa dengan parit tersumbat di belakang rumah seseorang pengundi.
Dalam pada itu, kalangan yang menolak pilihan raya tempatan turut membangkitkan soal kaum. Kebimbangan mereka terutama di kalangan Melayu adalah kemungkinan tidak ramai orang Melayu akan dipilih dalam pilihan raya tempatan.
Alasan ini agak lemah dan biasanya dikemukakan oleh mereka yang pernah melalui zaman di mana majoriti penduduk bandar adalah kaum Cina dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an. Keadaan sudah berubah sejak 30 tahun lalu, bukan sahaja melalui penghijrahan Melayu ke bandar tetapi juga kenaikan kadar kelahiran di kalangan orang Melayu.
Malah, jika lebih 140 majlis tempatan di seluruh negara mengadakan pilihan raya tempatan, kebanyakan kawasan adalah majoriti orang Melayu. Jadi ia tidak ada kena-mengena dengan kaum; sebaliknya isu-isu tempatan yang perlu dipenuhi oleh majlis tempatan seperti perancangan kawasan, sampah, sistem perparitan, lalu lintas, kutipan cukai dan sebagainya. Semua ini tidak mengenal warna kulit kerana ia merangkumi semua penduduk tempatan di kawasan berkenaan.
Lagi pula, pilihan raya tempatan bukan perkara baru kerana sejak 1857 sewaktu di bawah jajahan British, Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengadakan pemilihan itu bagi majlis bandaraya Georgetown. Walau pun dihentikan seketika pada 1913, ia dipulihkan kembali pada 1951.
Pada 1952, ia diperluaskan ke Kuala Lumpur dan kemudiannya pada 1955, pilihan raya tempatan pertama diadakan di seluruh negara. Semua kecuali satu kerusi dimenangi oleh Perikatan yang dianggotai oleh Umno, MCA dan MIC.
Hanya apabila Perikatan kehilangan kerusi kepada pembangkang dalam tahun-tahun 1960-an, ia telah menggantung sistem demokrasi di peringkat akar umbi itu atas alasan gangguan ketenteraman awam sehingga ke hari ini.
Walau pun selepas negara kembali aman, laporan Athi Nahappan yang mencadangkan kepada kerajaan supaya menghidupkan kembali pilihan raya tempatan, telah ditolak oleh pemerintah pusat. Dan apa-apa cadangan yang sama terus ditolak sampai sekarang tanpa sebarang alasan yang kukuh.
Berikutan masalah yang sering tersangkut ini, Lim Guan Eng telah menerajui pentadbiran negeri untuk menghidupkan semula pilihan raya tempatan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat exco negeri pada Rabu lalu (3 Mac). Beliau telah mengutus surat kepada SPR pada Khamis lalu (4 Mac) supaya mengguna pakai Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan SPR menggunakan kuasanya untuk mengadakan pilihan raya tempatan.
Hanya masa akan menentukan sama ada permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan dilayan, atau ditolak sebagaimana yang biasa dilakukan sejak Laporan Athi Nahappan dikemukakan kepada kerajaan lebih 40 tahun lalu.
SUMBER: www.themalaysianinsider.com
-------------------
Komen Penulis:
Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk memenuhi manifesto mereka semasa kempen pilihanraya yang lalu sementara kerajaan masih bertegas untuk kekal dalam sistem yang lama atas alasan belanja yang besar dan kemungkinan berlaku politiking. apapun, jika sistem ini berjaya dilaksanakn kembali, maka perut 'jerung besar' yang berkuasa sebelum ini bakal kempis dan berada dalam zon bahaya.adakah perancangan Pakatan Rakyat akan berjaya??apakah reaksi Lim Guan Eng selepas ini?apa tindakan Datuk Seri Najib?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan