Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan

Selasa, 23 November 2010

BN ADAKAN KEAHLIAN TERUS

Laporan Berita Harian bertarikh 21/11/2010 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Najib berkenaan tindakan Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang meminda perlembagaannya untuk membenarkan sesiapa juga boleh memohon keahlian terus tanpa menjadi ahli mana-mana parti komponen BN berkuat kuasa serta merta. Usaha ini dilakukan untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti yang lebih inklusif dan terbuka. Beliau juga turut menyatakan untuk mewujudkan Kelab Rakan Muda BN bagi remaja berumur 18-21 tahun yang masih belum layak mengundi.Turut diwujudkan ialah Kelab Sahabat BN. Salah satu tujuannya ialah untuk membolehkan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ahli kelab ini dan belajar untuk menghayati perjuangan BN.

Langkah-langkah yang dinyatakan di atas dilihat sebagai satu cara untuk menarik perhatian masyarakat kepada politik. Hal ini mampu memberikan peluang kepada rakyat untuk lebih terbuka apabila berbicara hal politik.

Pada satu sudut yang lain, kita boleh melihat bahawa tindakan BN ini seolah-olah menggambarkan bahawa sokongan terhadap parti komponen BN semakin berkurang sehingga terpaksa meminda perlembagaan. Kita boleh mengatakan bahawa tindakan ini merupakan satu pendekatan yang kontemporari dan selari dengan senario semasa. Tetapi dari sudut yang lain, ini menunjukkan bahawa BN lebih menumpukan kepada sokongan untuk memenangi pilihanraya. Sebagai sebuah parti yang telah lama wujud dalam arena politik tanah air, mereka perlu lebih tegas dalam memperkukuhkan dasar mereka. Mereka perlu menang dengan dasar perjuangan mereka. Usaha mewujudkan sistem keahlian terus ini dilihat lebih untuk meraih undi. Oleh itu saya melihat tindakan ini seakan-akan satu alternatif oleh BN untuk menampung kelemahan yang ada dalam setiap parti komponen BN.

Mengapa sampai harus menubuhkan kelab sahabat dan rakan muda? Adakah kerana sangat terdesak dan bimbang jika rakyat menghukum mereka pada PRU 13 nanti? Adakah kerana mereka ingin mengesan siapa golongan kiri? Adakah kerana mereka sudah kehilangan dengan kekuatan parti komponen yang ada?

Sebetulnya, BN tidak perlu melakukan semua perkara ini. Tetapi apa yang harus dibuat ialah menukar dasar yang ingin dibawa kepada rakyat supaya lebih adil dan saksama. Mana-mana parti yang bergerak untuk kepentingan sesuatu kaum perlu menjadi lebih fleksibel dan selari dengan senario semasa. Mereka perlu sedar sikap rasis pasti akan ditolak oleh rakyat. Jika mereka benar ingin memperjuangkan hak rakyat dan ingin mendapatkan undi rakyat, segala kebejatan mereka yang didedahkan oleh media alternatif harus diperbaiki dan diambil pengajaran. UMNO pula sejujurnya perlu turut sama merenung kembali dasar perjuangan mereka yang terlalu ekstrim dalam ketuanan melayu sedangkan masyarakat sekarang lebih berminat dengan ketuanan Islam.

Jumaat, 17 September 2010

malaysia dah tak aman ke?

isu yang hangat diperkatakan oleh rakyat malaysia sekarang ini ialah kes pembunuhan Datuk Sosilawati bersama tiga mangsa yang lain. Memang pembunuhan ini sangat kejam dan sadis. Kes ini juga bukanlah kes pertama yang berlaku pada tahun ini.

Sebelum ini akhbar ada melaporkan pembunuhan seorang ustazah bersama anak lelakinya. Awal tahun dahulu dilaporkan pembunuhan keluarga di gemenceh, Negeri Sembilan. Pada ogos lalu seorang gadis dirogol dan dibunuh dengan kejam di Sungai Petani. Bapa sembelih anak di kota bharu.

Kes-kes di atas sekadar beberapa kes daripada berpuluh kes yang berlaku. Perkara ini sebenarnya boleh menjadi indikator bagi kita untuk melihat tahap keselamatan dan ketenteraman di Malaysia. kes-kes yang berlaku sepanjang tahun ini membuktikan kadar jenayah di malaysia semakin teruk. Suasana ini boleh menimbulkan ketakutan kepada rakyat malaysia sekiranya pihak berkenaan masih tidak mengambil serius perkara ini.

satu masa dahulu, mungkin susah untuk kita dengar pembunuhan kejam seperti yang berlaku pada hari ini dalam masa setahun. tetapi keadaan sekarang menunjukkan pada tahun 2010 sahaja telah melibatkan barangkali lebih daripada 10 kes. jika keadaan ini berterusan, anak muda dan kanak-kanak yang akan hidup dalam 5-10 tahun akan datang bakal berada dalam suasana yang tidak aman.

Isnin, 6 September 2010

Akur bantahan, TV3 tarik balik iklan kontroversi

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Setelah dikritik dan dibantah banyak pihak, stesen televisyen swasta TV3 hari ini menarik balik iklan kontroversi Aidil Fitri yang disiar stesen itu sejak beberapa hari lalu.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Pihak mereka juga turut memohon maaf di atas penyiaran iklan tersebut yang telah mengguris hati umat Islam.

Permohonan maaf itu diumumkan melalui Buletin Utama jam 8 malam tadi.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat bercadang menghantar surat bantahan ke stesen televisyen tersebut dan juga kepada Kementerian Penerangan esok ekoran penyiaran iklan tersebut.

Selain mengguris perasaan umat Islam, iklan tersebut juga dakwa mereka mengelirukan dan boleh menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.

Biarpun menepati konsep 1Malaysia, namun iklan tersebut dilihat mencemar kemuliaan Aidil Fitri yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) digesa cermat dan memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

Iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat umat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.

sumber: harakahdaily

komen penulis: perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi kalau pihak berkenaan benar-benar sensitif tentang Islam. rasa-rasanya orang di tv 3 dan krew iklan ni ramai beragam islam.tapi masih boleh terlepas pandang. patutlah banyak terjadi salah faham tentang islam sekarang ni.apapun tahniah kerana menarik balik iklan tersebut.

Ahad, 22 Ogos 2010

HEDONISME

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Akhir-akhir ini rakyat Malaysia dilambakkan dengan pelbagai cerita sedih pembuangan bayi. Satu isu yang berjaya ditonjolkan oleh media massa kepada rakyat jelata. Maka segala punca permasalahan dan penyelesaian cuba diutarkan oleh pakar akademik, ahli politik dan badan-badan NGO. Beberapa tahun sebelum ini kita dipaparkan dengan pelbagai kes ragut. Pada masa tersebut pelbagai cadangan penyelesaian telah diutarakan namun masih tidak menampakkan hasil yang cemerlang. Di sini saya ingin menyentuh salah satu faktor yang menyumbang kepada permasalahn di atas dan pelbagai masalah sosial lain dalam kalangan masyarakat sekarang seperti zina, bergaduh sesama ahli keluarga dan lain-lain.

Saya berani mengatakan bahawa budaya HEDONISME merupakan salah satu punca utama kepada masalah sosial masyarakat yang semakin meruncing. Hedonisme boleh didefinisikan sebagai falsafah yang menjadikan keseronokan menjadi matlamat utama dalam kehidupan. Daripada falsafah inilah yang menyebabkan wujudnya gaya hidup bertelanjang. Falsafah ini sememangnya mengutamakan keseronokan untuk memuaskan hawa nafsu tanpa memikirkan akibat di sebalik perbuatan tersebut. Budaya ini merupakan satu budaya yang tidak sihat tetapi semakin menular dalam budaya timur. Jika sebelum ini hedonisme lebih dikaitkan dengan budaya barat, akan tetapi budaya ini seakan-akan turut menjadi sebahagian daripada anak muda di Malaysia.

Berdasarkan definisi yang diutarakan di atas, maka tidak salah seandainya saya mengatakan bahawa kesan daripada amalan hedonisme dalam masyarakat sekarang menjadi faktor utama kepada masalah buang bayi, zina , rogol, minum arak, clubbing dan sebagainya.

Jika kita perhatikan, gaya hidup kebanyakan masyarakat terutamanya anak muda masa kini memang telah larut dengan budaya hedonisme. Satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan ialah lambakkan program realiti di televisyen. Apabila kita berbicara berkenaan Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in A Million, Sehati Berdangsa, Raja Lawak dan lain-lain lagi, program-program sebegini menjadi satu tarikan utama kepada masyarakat. Mungkin ada yang mengatakan bahawa program sebegini tidak kaitan langsung dengan hedonisme. Mungkin kenyataan ini benar. Akan tetapi jika kita mampu melihat dengan lebih jauh kita pasti akan dapat merasai dan menyedari bahawa kesan program-program sebegini menyebabkan anak-anak muda telah dimomokkan dengan hiburan yang berlebihan.

Kita sememangnya tidak boleh menghalang masyarakat, anak-anak muda bahkan golongan dewasa sekalipun untuk berhibur kerana memang menjadi fitrah kejadian manusia itu perlukan kepada hiburan untuk menjadi ubat kepada tekanan yang dihadapi akibat daripada tugasan seharian yang padat. Tetapi apabila hiburan itu menjadi salah satu daripada perkara utama dalam kehidupan sehinggakan wujud kerjaya sebagai penghibur sepenuh masa untuk menampung kehidupan, maka hal ini telah menzalimi fitrah. Tambah menyedihkan apabila majoriti masyarakat yang larut dalam budaya ini ialah golongan Melayu beragama Islam. Mereka mungkin terjebak tanpa sedar kerana budaya ini merupakan satu virus yang halus yang menyerap dalam masyarakat kita pada hari ini.

wallahua'lam.

Selasa, 1 Jun 2010

KUTUKAN TERHADAP ISRAEL

salam perjuangan.

Hari ini kita dikejutkan dengan serangan oleh tentera israel terhadap rombongan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Laporan menunjukkan sekurang-kurangnya 16 orang meninggal dunia dan lebih 30 orang cedera. Hal ini menunjukkan satu lagi kebiadaban israel yang terus-terusan melanggar peraturan antarabangsa. Tambahan pula kejadian berlaku rombongan menghampiri 65km ke perairan Gaza.

Seluruh umat Islam di seluruh dunia mesti melahirkan rasa benci kita terhadap tindakan regim yahudi yang jahat dan zalim ini.Bahkan seluruh masyarakat dunia wajar mengutuk tindakan israel ini kerana bantuan yang dibawa ini bukan semata-mata untuk umat Islam di Gaza, tetapi juga untuk semua penduduk Palestin di Gaza tanpa mengira agama.



Oleh itu, PBB, OIC dan pertubuhan dunia lain harus mengambil langkah segera bagi menangani masalah ini. Sebagaimana kita tahu, rombongan ini disertai oleh 40 buah negara termasuk turki, malaysia dan indonesia. Mereka yang menyertai rombongan ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan agar rakyat Gaza juga dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Antara bantuan yang dibawa ialah alat binaan, makanan dan bekalan perubatan. Rombongan ini juga bergerak tanpa membawa sebarang senjata bersama mereka.

Mari kita sama-sama meningkatkan munajat kita kepada Allah S.W.T agar rombongan ini berjaya sampai ke Gaza dengan selamat. Semoga mereka semua diselamatkan daripada kerja jahat regim zionis. Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar bantuan yang dibawa itu berjaya sampai kepada penduduk Gaza.Kita juga berharap agar negara--negara lain terutamanya di tanah arab dapat melakukan sesuatu. Bagi yang memiliki facebook, gunakan medium ini untuk menyebarkan kepada semua tentang kezaliman israel yang sememagnya telah melampaui batas.

wassalam.
Allahuakbar!!!