Selasa, 23 November 2010

BN ADAKAN KEAHLIAN TERUS

Laporan Berita Harian bertarikh 21/11/2010 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Najib berkenaan tindakan Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang meminda perlembagaannya untuk membenarkan sesiapa juga boleh memohon keahlian terus tanpa menjadi ahli mana-mana parti komponen BN berkuat kuasa serta merta. Usaha ini dilakukan untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti yang lebih inklusif dan terbuka. Beliau juga turut menyatakan untuk mewujudkan Kelab Rakan Muda BN bagi remaja berumur 18-21 tahun yang masih belum layak mengundi.Turut diwujudkan ialah Kelab Sahabat BN. Salah satu tujuannya ialah untuk membolehkan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ahli kelab ini dan belajar untuk menghayati perjuangan BN.

Langkah-langkah yang dinyatakan di atas dilihat sebagai satu cara untuk menarik perhatian masyarakat kepada politik. Hal ini mampu memberikan peluang kepada rakyat untuk lebih terbuka apabila berbicara hal politik.

Pada satu sudut yang lain, kita boleh melihat bahawa tindakan BN ini seolah-olah menggambarkan bahawa sokongan terhadap parti komponen BN semakin berkurang sehingga terpaksa meminda perlembagaan. Kita boleh mengatakan bahawa tindakan ini merupakan satu pendekatan yang kontemporari dan selari dengan senario semasa. Tetapi dari sudut yang lain, ini menunjukkan bahawa BN lebih menumpukan kepada sokongan untuk memenangi pilihanraya. Sebagai sebuah parti yang telah lama wujud dalam arena politik tanah air, mereka perlu lebih tegas dalam memperkukuhkan dasar mereka. Mereka perlu menang dengan dasar perjuangan mereka. Usaha mewujudkan sistem keahlian terus ini dilihat lebih untuk meraih undi. Oleh itu saya melihat tindakan ini seakan-akan satu alternatif oleh BN untuk menampung kelemahan yang ada dalam setiap parti komponen BN.

Mengapa sampai harus menubuhkan kelab sahabat dan rakan muda? Adakah kerana sangat terdesak dan bimbang jika rakyat menghukum mereka pada PRU 13 nanti? Adakah kerana mereka ingin mengesan siapa golongan kiri? Adakah kerana mereka sudah kehilangan dengan kekuatan parti komponen yang ada?

Sebetulnya, BN tidak perlu melakukan semua perkara ini. Tetapi apa yang harus dibuat ialah menukar dasar yang ingin dibawa kepada rakyat supaya lebih adil dan saksama. Mana-mana parti yang bergerak untuk kepentingan sesuatu kaum perlu menjadi lebih fleksibel dan selari dengan senario semasa. Mereka perlu sedar sikap rasis pasti akan ditolak oleh rakyat. Jika mereka benar ingin memperjuangkan hak rakyat dan ingin mendapatkan undi rakyat, segala kebejatan mereka yang didedahkan oleh media alternatif harus diperbaiki dan diambil pengajaran. UMNO pula sejujurnya perlu turut sama merenung kembali dasar perjuangan mereka yang terlalu ekstrim dalam ketuanan melayu sedangkan masyarakat sekarang lebih berminat dengan ketuanan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan