Isnin, 15 Februari 2010

P/Jaya PAS Wilayah Persektuan Hilang??

| Print | E-mail
Harakahdaily
TEMERLOH, 15 Feb: Pada ketika ini, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Nor, yang dilaporkan telah hilang selama empat hari, dipercayai masih berada di Temerloh.

Andaian ini berdasarkan keretanya yang ditemui oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang, Abdul Majid Hasan di Hotel Green Park, di sini, sebentar tadi.

“Selepas mendapat maklumat melalui SMS daripada Setiausaha PAS negeri tentang kehilangan Haji Mohamad Nor, saya tergerak hati untuk ke hotel tersebut.

"Dan saya dapati kereta jenis Unser merah dengan nombor plat WJD 4469, ada di situ. Bagaimanapun saya tidak menemui beliau,” katanya.

Hotel Green Park merupakan salah satu tempat persinggahan popular kepada orang dari luar daerah ini.

Pada ketika ini, pasukan Unit Amal Kawasan Temerloh difahamkan sedang bertungkus lumus mencari beliau.

Sebelum ini, Haji Mohamad Nor dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak Jumaat 12 Februari lepas.

Ahli dan penyokong PAS di Wilayah Persekutuan dipohon supaya berdoa agar pesuruhjaya mereka, Haji Mohamad Nor berada dalam keadaan selamat selepas tidak dapat dihubungi sejak Jumaat 12 Februari lepas.

Kali terakhir beliau dilihat adalah dalam mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad dan beliau dilihat keluar dengan Unser merahnya, WJD 4469.

Demikian beritahu anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali kepada Harakahdaily.

Menurut Lo' Lo', salah seorang ahli mesyuarat itu memberitahu, Haji Mohamad memberitahu, dia mahu berjumpa dengan kawan pada tengah malam itu.

Namun, sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi, kata Lo' Lo'.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar PJ Wilayah Persekutuan itu berada dalam selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

"Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera," cadang Dr Lo' Lo'.

Dalam pada itu anaknya, Umar Mohamad Nor berkata, kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada Jumaat malam yang lalu.

Pada pagi esoknya kira-kira jam 8.00 pagi, telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.

"Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah," kata Umar kepada Harakahdaily.

Menurutnya, perkara ini tidak pernah berlaku ke atas ayahnya kerana dia akan memberitahu ke mana sahaja dia akan pergi.

sumber:HARAKAH DAILY
-------

moga-moga Haji Mohamad Nor berada dalam keadaan selamat untuk kembali ke pangkuan keluarga serta meneruskan perjuangan beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan