Salam perjuangan.
Kehidupan sebagai seorang hamba kepada penciptanya iaitu Allah merupakan satu proses ujian yang panjang.Satu proses yang memerlukan manusia bermujahadah untuk mencari kebenaran dan kebahagiaan yang hakiki.Terutamanya kepada insan-insan yang dikatakan sebagai daie. Meneruskan tugas dan kerja Rasulullah S.A.W dan para sahabat merupakan amal yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Akan tetapi janji Allah kepada orang yang berjuang untuk menegakkan agama-Nya ialah perjalanan yang dihiasi dengan mehnah dan tribulasi.Oleh sebab itu,menjadi satu keperluan bagi sang daie untuk mujahadah mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Antara perkara yang kadang-kadang terlepas pandang bagi sang pejuang ialah membaca dan mentadabbur Al-Quran Al-Karim.Sesungguhnya amat malang bagi orang yang berada di jalan dakwah akan tetapi boleh lalai dan menjarakkan diri daripada Al-Quran. Sedangkan dengan membaca Al-Quran mampu memberi satu ketenangan dan kekuatan bagi pejuang agama Allah. Al-Quran merupakan mukjizat dan kalam Allah yang mengandungi hikmah yang sangat besar. Allah dan Rasul-Nya juga telah menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang membaca dan memahami Al-Quran ini.
“Sesunggunya Allah swt mengangkat darjat beberapa golongan manusia dengan kalam ini dan merendahkan darjat golongan lainnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
“Bacalah Al-Qur’an karena dia akan datang pada hari Kiamat sebagai juru syafaat bagi pembacanya.” (Riwayat Muslim)
“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”
(Riwayat Abu Isa Muhammad bin Isa At-Tirmidzi dan katanya: hadits Hasan Shahih)
Lalu tidak ada sebab mengapa seorang yang mendakwa dirinya berada dalam saf perjuangan Islam boleh membiarkan dirinya leka dengan kerja dakwah, program, mesyuarat sehingga boleh terlupa untuk membaca kalam Allah.Sepatutnya manusia-manusia yang berada di dalam perjuangan harus menjadikan Al-Quran sebagai sebahagian rutin wajib dalam kamus hidup mereka.Waima para ulama yang berada dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah tidak pernah membiarkan kehidupan seharian mereka berpisah daripada Al-Quran walaupun jadual harian mereka padat dengan urusan untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini.
Maka setiap daie dan orang yang mendakwa pejuang agama Allah harus memuhasabah diri masing-masing sama ada mereka berada dalam golongan yang lupa ataupun mereka tergolong dalam kalangan pejuang yang masih teguh membina kekuatan rohani dengan syafaat dan keberkatan Al-Quran Al-Karim?
Moga menjadi satu teguran kepada diri penulis yang daif.
wassalam.
ALLAHUAKBAR!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan