Assalamualaikum
Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada kumpulan Berjaya yang menguasai perniagaan judi kedai Toto dan juga 7eleven. Perkara ini mula mendapat perhatian sejak Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek menyatakan kerajaan dalam proses mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi bagi Piala Dunia. Alasan yang diberikan adalah untuk mengurangkan gejala perjudian secara haram. Dalam masa yang sama, hasil daripada perjudian ini juga boleh menjadi sebagai salah satu sumber kewangan negara.
Persoalannya ialah mengapa mesti menghalalkan sesuatu yang haram. Kalau betul pun ingin mengurangkan kadar pertaruhan yang dilakukan secara haram (tanpa lesen), langkah mengeluarkan lesen untuk menghalalkan judi masih tidak dapat diterima. Hal ini seolah-olah menunjukkan kerajaan membenarkan perjudian sebagai budaya baru masyarakat Malaysia. Sesungguhnya langkah yang diambil oleh kerajaan adalah satu langkah ke belakang dan tidak selari dengan laungan pemimpin negara untuk memacu negara sebagai sebuah negara yang pesat membangun.
Seterusnya, adakah tindakan ini merupakan satu pelengkap kepada slogan Datuk Seri Najib iaitu 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'? Adakah yang dimaksudkan dengan mendahulukan rakyat itu sehinggan mengambil langkah yang membawa mudarat yang lebih besar kepada rakyat. Memang benar kerajaan ada menyatakan bahawa perjudian ini masih melarang umat Islam daripada terlibat. Akan tetapi langkah ini tetap satu langkah yang tidak sepatutnya. Ini kerana, perjudian itu secara jelas haram di sisi Islam, bahkan juga satu larangan bagi semua agama.
Secara logiknya, kerajaan sepatutnya lebih peka dan halus dalam mengambil sesuatu tindakan dan keputusan. Sebenarnya tidak ada sebab untuk kerajaan membenarkan lesen judi. Kerajaan sepatutnya berusaha mengurangkan kegiatan judi yang terdapat di Malaysia. Kalaupun perkara itu sukar, namun saya percaya jika kerajaan komited untuk membasmi perjudian di negara ini, maka kegiatan judi ini mampu dibanteras walaupun mengambil sedikit masa. Namun begitu, satu langkah ke belakang oleh kerajaan dengan pengeluaran lesen ini menimbulkan persoalan adakah benar Malaysia komited untuk melawan perjudian sebagaimana dilaungkan untuk memerangi dadah? Mungkin perkara ini patut difikirkan bersama oleh semua individu yang masih punya rasa cakna terhadap nasib negara dan rakyat Malaysia.
mungkin sebab dah tak cukup duit nak pusing modal agaknye
BalasPadam